Sunday 29 December 2013

Melbourne 3



Hatiku Tertinggal di Melbourne..
Day 3


Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap untuk suatu perjalanan yang jauh. Yang lebih mengujakan kami akan memandu sendiri ke sana. Cuaca tidak begitu baik. Daripada berita yang kami dengar pagi tadi, akan ada ribut dan hujan lebat di sana pada sebelah malam. Jadi..kami harus pulang ke hotel sebelum gelap untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk.

Breakfast sihat..


Selesai urusan menyewa kereta, kami menuju ke Great Ocean Road. Berpandukan GPS sepenuhnya. Tawakkal alallah.. semoga perjalanan kami selamat. Nak keluar dari bandar tu pun dah hampir sejam.. makan buah langsat sampai kenyang.. Dengan undang-undang 'hook and turn' dan pemanduan berhemah.. sangat menguji kesabaran suami yang memang kaki race.. Itu belum lagi sesak nafas takut dilanggar trem.  aduyaii.. itulah..lain kali mesti mohon dengan Allah sepenuhnya..


Berhenti di RnR.. 





Jam 11 pagi, barulah kami memasuki Princess Highway menghala ke Geelong. Syukur alhamdulillah.. suatu pengalaman yang banyak mengajar kami erti sebuah kesabaran. Kami berhenti di R & R dan mendapatkan sedikit informasi di Visitor Information Centre. Sambil membeli buah-buahan yang cukup segar.

Beli kekacang..
Dan buah-buahan yang segar

Sepanjang perjalanan, hati ini tak habis-habis memuji keindahan alam.. memuji Sang pencipta alam yang indah ini.. Di kiri kanan kami disajikan dengan pemandangan padang ragut yang serba hijau luas mata memandang. Langit yang kebiruan kadangkala mendung diselaputi awan kelabu. Pokok-pokok besar yang tersusun mencantikkan lagi suasana.











Padang ragut









Berhenti sebentar..ambil gambar
Hubby dengan passat
Kami berhenti di Torquey untuk merakam lukisan alam..  padang ragut yang luas terbentang.. untuk lembu-lembu baka Australia.. memang mewah nasib lembu-lembu itu..patutlah gemuk dan sihat. Memakan rumput segar dan meminum air sungai yang bersih dan belum tercemar. Di negara kita..lembu duduk di condo mewah ..oopppss...


Dalam tiga jam perjalanan kami sampai di Anglesea. Kebanyakan pelancong yang menaiki bas akan berhenti di sini untuk berehat sambil menikmati keindahan pantai dan pemandangan yang memukau.. subhanallah.. Langitnya biru sekali diserikan dengan kepulan awan yang memutih bagaikan kapas. Buminya diliputi rumput hijau dengan barisan pokok yang cantik... memang indah bumi kangaroo ini..



































Kami meneruskan perjalanan. Dari Anglesea kami menuju ke Lorne dan Appolo Bay.  Sepanjang jalan pantai yang berliku-liku dan bertebing, kelihatan laut lepas yang sungguh mengasyikkan. Pantai yang bersih, ombak yang kuat dan pemandangan semula jadi yang belum pernah aku saksikan sebelum ini..Sungguh hebat Sang Pencipta..













Akhirnya kami tiba di pintu gerbang Great Ocean Road. Sungguh lega sekali. Harapan tinggi menggunung mahu melihat The Twelve Apostles.. batuan di tepi laut yang terbentuk akibat proses hakisan. Salah satu lokasi pelancongan terkenal di sini. Ini baru pintu gerbangnya.. masih jauh rupanya tempat yang dituju..






Di sebelah kiri pintu gerbang ini, ada denai ke pantai. Apa lagi.. jom tengok. Ombak di sini sangat kuat. Bunyinya menghempas pantai bagai melodi indah terapi jiwa. Terasa tenang dan lapang melihat laut lepas yang luas terbentang. Macam nak terjun saja menyapa buih-buih ombak..namun airnya sangat dingin... sudah lama bersedia menanti kehadiran musim sejuk barangkali.. 


























Hampir 30 minit kami menghilangkan lenguh di badan, perjalanan diteruskan. Cuaca semakin gelap dan langit semakin mendung. Hati berdebar-debar takut hajat tak kesampaian. Kami berhenti solat di tepi kawasan hutan.  Nasib baik ada sungai yang mengalir. Dapatlah berwudhuk dan mensucikan diri. Airnya sungguh sejuk dan nyaman.. 











Jangkaanku tepat sekali. Kami tiba di look up point sudah hampir 5.30 petang. Dalam suasana remang senja, kami dapat melihat apostles nun jauh di persisiran pantai. Cantik sekali. Ramai juga pelancong yang bersama-sama kami waktu itu. Masing-masing merakamkan keindahan alam yang jarang-jarang dapat ditemui dalam kehidupan marhaen.  Kami juga sempat berbuat demikian..tapi camera tidak secanggih mana.. hanya ini saja foto-foto yang dapat dipersembahkan..hu.hu.hu..

                     








Cuaca sangat sejuk. Kami terketar-ketar merakam gambar. Setelah setengah jam berada di sana, kami bertolak balik. Sepanjang jalan pulang, GPS buat hal lagi. Kami terpaksa melalui jalan hutan yang sunyi dan gelap. Sesekali terlihat rumah ladang dan bangsal di penjuru jalan. Menyeramkan.. Jalannya pula bagai ular dipalu. Tiada lampu jalan dan sememangnya sunyi. Persis Jalan Karak Lama... Dalam kepala dah mula membayangkan macam-macam..

Akhirnya kami tiba di rumah yang dituju. Lalor. Syukur alhamdulillah. Kak Syam dan Abang Din sudah lama menunggu kami. Mereka melanjutkan pelajaran dan menetap di sini sejak tiga tahun yang lalu. Nasi, ayam masak merah dan tomyam menjadi santapan kami malam itu. Sungguh lazat. Abang Din banyak memberi tips tempat-tempat yang patut dilawati. Ingatannya tentang undang-undang jalan raya, saman dan denda semakin merisaukan hati ini..

Dari sana, kami terus ke hotel. Setiap kali masuk bandar, perutku mula serabut.. Melihat cara pemanduan abang..lagilah aku rasa macam tak ada harapan nak balik Malaysia. Akhirnya tiba juga di hotel dengan selamatnya.. alhamdulillah.. Sungguh letih hari ini...what a looongg day....


Sekolah Baharu..

Sekolah baharu.. 26 Disember 2018 SMK Seksyen 7 Shah Alam Seawal pagi saya sudah bersiap. Almaklumlah..ke sekolah baharu. Entah a...